PELAJAR ASRAMA TIDAK BOLEH DIPAKSA SOLAT SUBUH BERJEMAAH, KATA KEMENTERIAN PENDIDIKAN

KUALA LUMPUR — Susulan cadangan pelajar di Putrajaya perlu mendirikan solat subuh sebelum hadir ke sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mensyaratkan ia perlu mendapat persetujuan ibu bapa.

Timbalan Menteri Pendidikan II Chong Sin Woon berkata selain daripada persetujuan tersebut, murid sendiri tidak boleh dipaksa mengikuti program berkenaan.

“Sebab program tersebut bukan dalam waktu persekolahan, maka persetujuan ibu bapa itu penting dan tidak patut ada sebarang paksaan.

“[Ia juga mesti] tidak mengganggu waktu persekolahan dan tidak menggunakan premis sekolah,” katanya dalam satu pesanan ringkas kepada ProjekMMO.

Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dilaporkan berkata Putrajaya akan melaksanakan program solat subuh berjemaah dan kuliah untuk pelajar di masjid dan surau dalam parlimen tersebut sebelum memulakan sesi persekolahan.

Jumaat lalu, menteri wilayah persekutuan juga berkata program perintis tersebut yang melibatkan 14 buah sekolah akan dilaksanakan tidak lama lagi bagi menggalakkan pelajar bersolat subuh bersama-sama sebelum memulakan aktiviti harian.

“Turut diadakan ialah sesi kuliah dan sarapan pagi disediakan kepada semua murid dan pelajar terlibat,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Berita ini bagaimanapun tidak menjelaskan bentuk program tersebut dan bagaimana ia akan dilaksanakan.

ProjekMMO telah menghubungi Tengku Adnan, yang juga ahli parlimen Putrajaya, semalam untuk penjelasan lanjut tetapi belum mendapat jawapan.

Chong berkata walaupun saranan Tengku Adnan itu mempunyai objektif yang murni, namun prinsip yang ditetapkan KPM perlu dipatuhi.

Mengulas mengenai cadangan Tengku Adnan yang mahu menyediakan sarapan pagi untuk program itu, Chong berkata ia dapat dimantapkan jika turut diberikan kepada pelajar bukan Islam.

“Jika ada sarapan disediakan kepada pelajar pelajar Muslim, alangkah baiknya jika yang bukan Muslim turut diberikan supaya tidak wujud perbezaan layanan dalam usaha kita memperkasakan sekolah kebangsaan untuk menjadi pilihan utama dari semula lapisan masyarakat,” katanya. – TMMO / Foto Sekolah Agama Brunei Blog

Sumber
PELAJAR ASRAMA TIDAK BOLEH DIPAKSA SOLAT SUBUH BERJEMAAH, KATA KEMENTERIAN PENDIDIKAN PELAJAR ASRAMA TIDAK BOLEH DIPAKSA SOLAT SUBUH BERJEMAAH, KATA KEMENTERIAN PENDIDIKAN Reviewed by Mr Scooby on Tuesday, November 24, 2015 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.