Vape: Individu pertama didakwa di mahkamah

Tertuduh dibawa keluar dari mahkamah.

KOTA BHARU - Seorang peniaga berusia 27 tahun menjadi individu pertama di Kelantan dituduh di Mahkamah Majistret Kota Bharu berhubung kesalahan membabitkan penjualan cecair rokok elektronik atau vape.

Tertuduh yang berasal dari Kampung Pulau Semut Limbat, di sini, Muhd Azahar Safie, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu.

Prosiding dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Siti Hajar Alias di hadapan Majistret, Mohamad Nasruddin Mohamed.

Mengikut pertuduhan yang dikemukakan, dia didakwa tanpa diberi sebarang kuasa atau kebenaran, memiliki cecair racun jenis nikotin sebanyak 518 mililiter (ml) di sebuah premis di Pasar Borong Wakaf Che Yeh, di sini, pada jam 11.15 malam, 5 November lalu.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 9(1) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 32(2) akta sama.

Sabit kesalahan mengikut seksyen berkenaan, tertuduh boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.

Susulan penafian tertuduh, kes kemudiannya ditangguhkan ke tarikh sebutan semula pada 14 Januari depan dan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM2,000.

Dalam serbuan lalu, pihak berkuasa merampas pelbagai perisa cecair vape termasuk kiwi, mangga, sitrus dan pelbagai lagi kerana dipercayai mengandungi racun jenis nikotin yang menyalahi undang-undang.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengeluarkan kenyataan bahawa penjual serta pengguna vape yang menggunakan perisa mengandungi nikotin akan berdepan dengan tindakan penguatkuasaan undang-undang mengikut Akta Racun 1952.

http://www.sinarharian.com.my/semasa/vape-individu-pertama-didakwa-di-mahkamah-1.462337
Vape: Individu pertama didakwa di mahkamah Vape: Individu pertama didakwa di mahkamah Reviewed by Mr Scooby on Tuesday, December 15, 2015 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.